::DEMI MASA::

Saturday, April 23, 2011

Murid obes wajib ikuti kelas khas


Nasional

Kementerian kaji terperinci keberkesanan program dilaksana di Singapura 

BATU PAHAT: Program khusus yang mewajibkan pelajar gemuk mengikuti kelas senaman fizikal selain kurikulum menekankan pendidikan nutrisi dan pemakanan sihat, mungkin diperkenalkan di negara ini bagi mengatasi masalah kegemukan dan diabetes di kalangan pelajar.

Menerusi program khas berkenaan, perkembangan serta kemajuan pelajar obes akan dinilai, dipantau serta diberi tumpuan oleh pihak sekolah dan ibu bapa dengan bantuan doktor serta pakar pemakanan.
Program seumpama itu dilaksanakan di sekolah serta kolej di Singapura pada 1992 dan turut diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai antara cara paling berkesan mengatasi obesiti di kalangan generasi muda selepas berjaya menurunkan kadar pelajar obes daripada 14 peratus kepada 9.5 peratus pada tahun pertama pelaksanaannya. 

Ia kemudian dihentikan pada 2007 selepas ibu bapa tidak berpuas hati apabila anak mereka yang diwajibkan mengikuti program itu tertekan kerana sering diejek serta dipersenda pelajar lain, lalu digantikan program menggabungkan kesihatan fizikal, mental serta sosial pelajar. 

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kaedah di Singapura itulah yang perlu dikaji oleh kementerian bagi menilai kesesuaiannya, sama ada boleh dilaksana di sekolah negara ini bagi mengatasi masalah obesiti pelajar. 

"Jika baik, berkesan dan sesuai, apa salahnya ia disesuaikan dan ditambahbaik menjadi program lebih bersepadu, menyeluruh dan holistik untuk kebaikan generasi muda dan masa depan negara. Namun, kajian lebih menyeluruh dan terperinci juga perlu dibuat bagi mencari punca sebenar pelajar kita obes. 
“Ia termasuk sama ada dakwaan makanan dijual di kantin sekolah antara penyebabnya sahih atau tanggapan semata-mata," katanya selepas majlis konvokesyen ke-18 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn, di sini semalam. 

Akhbar pada 18 April lalu melaporkan kajian Kementerian Kesihatan mendapati lebih 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit tidak berjangkit dengan 60 peratus remaja 18 tahun ke bawah yang rata-ratanya pelajar sekolah rendah dan menengah mengalami obesiti serta diabetes. 

Sebelum ini, Kabinet mengarahkan semua minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan dilarang dijual di kantin sekolah berkuat kuasa serta merta dalam usaha mencegah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar. 

0 comments on "Murid obes wajib ikuti kelas khas"

Post a Comment

 

♥CERITA DARI HATI ♥ Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal