::DEMI MASA::

Saturday, April 23, 2011

Pelajar gemuk, ibu bapa kena sesi kaunseling


PUTRAJAYA: Pelajar yang mengalami masalah obesiti berdasarkan rekod Indeks Jisim Badan (BMI) dalam kad laporan prestasi masing-masing, akan dirujuk ke klinik kesihatan untuk diberikan kaunseling oleh pakar pemakanan. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Rosnah Abd Rashid Shirlin, berkata ibu bapa pelajar terbabit turut diwajibkan menghadiri sesi kaunseling berkenaan.

"Pelajar sekolah yang didapati mengalami obesiti akan dirujuk ke klinik kesihatan untuk diberikan kaunseling mengenai pemakanan. Sesi kaunseling ini turut membabitkan ibu bapa.
“Ketika ini, BMI pelajar sekolah hanya direkodkan dalam Rekod Kesihatan Sekolah. Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi memasukkan rekod BMI dalam kad laporan prestasi untuk menarik perhatian ibu bapa terhadap status BMI anak mereka,” katanya kepada pemberita, di sini semalam. 

Pada 4 April lalu, Kabinet memutuskan larangan penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan di kantin sekolah bagi mencegah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar selain mewajibkan BMI pelajar direkodkan dalam kad laporan prestasi masing-masing. 

Rosnah berkata, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran kini bekerjasama sama dalam mewujudkan persekitaran sihat di sekolah dengan melaksanakan beberapa polisi termasuk kantin sekolah sihat dan pengharaman penjualan makanan tidak sihat di luar kawasan sekolah. 

"Bagi memberi kesedaran di kalangan pelajar sekolah mengenai obesiti, satu program Kembara Riang Ria Pemakanan akan diadakan di sekolah terpilih. Dalam program ini, pelajar sekolah akan diajar mengamalkan pemakanan sihat menerusi permainan interaktif. 
"Aktiviti pendidikan lain seperti seminar pemakanan sihat untuk kanak-kanak bagi ibu bapa dan guru turut dijalankan. Risalah pendidikan mengenai perkara sama akan diedarkan di sekolah," katanya. 

0 comments on "Pelajar gemuk, ibu bapa kena sesi kaunseling"

Post a Comment

 

♥CERITA DARI HATI ♥ Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal